Friday, January 14, 2011

Pertarungan Iman Dan Nafsu

Ketika membahagiakan diri sendiri, pernahkah kita terfikir untuk membahagiakan orang lain?
Perlu kita renung dalam-dalam dan muhasabah diri.
Di dalam kehidupan kita seharian, berapa ramai orang yang telah kita bahagiakan?
Telah kita penuhi hak mereka dengan menolong ketika mereka perlukan bantuan?
Adakah kita telah memberi nasihat, ketika mereka memerlukannya?
Adakah kita telah meminjamkan wang ketika mereka benar-benar di dalam kesempitan?
Tidak kiralah siapakah mereka itu, keluarga sendiri, jiran, sahabat-sahabat, pengawal keselamatan di kawasan perumahan kita, penyapu sampah di pasar, ataupun orang yang tidak pernah kita kenal atau berjumpa sebelum ini.
Kehidupan bukan sekadar untuk makan, minum, bekerja, berumah tangga, melancong dan berseronok, tetapi lebih daripada itu, iaitu memanfaatkan kehidupan untuk mendapat keredhaan Al-haqq 'Azza wajjalla selain mengecapi kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Sabda Rasulullah SAW :
"Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain, berakhlak mulia, mempelajari al-Quran dan mengajarkannya, serta orang yang umurnya panjang tapi banyak amal kebajikannya."
Dalam apa jua kerja dan ibadah yang dilakukan, semua diantara kita mahukan yang terbaik, sekurang-kurangnya dapat memuaskan hati sebagai laluan awal untuk mengecapi nikmat kebahagiaan; suatu fitrah yang dikurniakan Allah SWT kepada kita.
Namun, kadang-kala kayu ukur yang kita gunakan dalam menilai apa yang sedang kita lakukan kurang sesuai. Yang halal itu jelas, dan yang haram juga begitu, namun bila berada di pertengahan halal dan haram, kadang-kala kita cenderung untuk menghalalkannya.
Dalam kehidupan ini, kita selalu berperang dengan diri sendiri untuk menggapai kebahagiaan.
Pertarungan antara iman dan nafsu!
Sebaik-baik manusia, sudah pasti pernah melakari sejarah hidup yang terbina di atas kekalahan iman dalam pertarungan. Nuasa berdengung seketika, dalam keluar naik nafas kita, ke manakah pilihan yang harus dipilih.
Namun selagi nafas belum berhenti dan menyedari pertarungan belum berakhir, jangan sesekali kita berputus asa untuk memilih dan melakukan yang terbaik mengikut kayu ukur keimanan kita. Teruslah berjuang untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment